UMNO SEPANG MENJANA BANGSA
UMNO SEPANG MENJANA BANGSA

Tajuk : Ucapan Dasar
YB Dato’ Ir. Haji Mohd Zin Mohamed Ketua UMNO Bahagian Sepang merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Sepang 2005

Tarikh : 15 Mei 2005.
Jam : 2.30 petang.
Tempat : Dewan Bandar Baru Salak Tinggi

CEMERLANG- GEMILANG- TERBILANG

Yang di muliakan Dato’ Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Sepang

Y. Bhg Dato’ Haji Marsum bin Paing
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sepang

YB Dato Dr. Haji Karim bin Mansur
Naib Ketua UMNO Bahagian Sepang

Para pegawai UMNO Bahagian Sepang

YB Tuan Haji Suhaimi bin Mohd Ghazali
Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Sepang

Cik Rina binti Mohd Harun
Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Sepang

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sepang

Para Perwakilan dan Pemerhati ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang yang saya muliakan sekelian

UCAPAN KESYUKURAN DAN TERIMA KASIH
Sekali lagi kita berhimpun dan bertemu dalam suasana ukhwah dan mawaddah, persaudaraan dan kasih sayang pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sepang bagi tahun ini. Moga-moga pertemuan ini dapat mengeratkan perpaduan bagi menyemai ikatan dan tekad perjuangan untuk mengangkat martabat bangsa Melayu ke mercu kecemerlangan.

Semoga pertemuan ini juga mendapat rahmat dan hidayah dari Allah swt untuk kita berbincang, berbicara, meninjau serta menerokai pemikiran baru bagi menghasilkan rumusan-rumusan penting untuk membantu penggubalan rancangan gerak kerja kearah meningkatkan syiar Islam dan memartabatkan bangsa bertuah ini.

Saya mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan cawangan, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang, untuk mewakili peringkat masing-masing dengan melalui proses sistem demokrasi yang telah menjadi pegangan dan amalan parti keramat ini sekian lama.

Kita harus hormati kepercayaan yang telah diamanahkan demi memikul tanggungjawab yang telah diberikan oleh setiap ahli cawangan kepada kita. Marilah kita bersama-sama bermusyaratah, bermuraqobah, bermuhasabah, bermu’aqobah, bermujahadah dan bermu’ atabah bagi memastikan perjuangan kepada agama, bangsa dan negara terlaksana.

Pada petang yang mulia ini juga marilah kita bersama-sama memperingati jasa dan sumbangan para pengasas dan pendukung perjuangan UMNO yang telah kembali ke Rahmatullah, bersama-sama kita pohonkan doa semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Untuk itu marilah kita bersama-sama membacakan ummul kitab “al-fatihah”.

Para perwakilan yang dihormati sekelian, perjuangan bangsa Melayu dalam arus globalisasi telah dan bakal menghadirkan pelbagai ragam cabaran, ujian dan kejutan yang bukan kepalang tanggungan. Perjuangan kita menjadi lebih mencabar, penuh intring dan tribulasi, apabila bahagian ini berada pada peringkat “take off” dalam pembangunan yang bertaraf dunia.

Oleh yang demikian saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Y. Bhg Dato’ Timbalan Ketua Bahagian, YB Dato Naib Ketua Bahagian, Pegawai-pegawai UMNO Bahagian, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri serta para perwakilan di atas segala kerjasama yang diberikan kepada saya selaku Ketua UMNO Bahagian dalam usaha melaksanakan tanggungjawab terhadap parti keramat ini.

Kita menyedari sejak berakhirnya perhimpunan tahun lepas banyak aktiviti yang dilaksanakan di peringkat bahagian malah Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri begitu aktif melaksanakan pelbagai program dan aktiviti. Komitmen yang telah saudara dan saudari berikan melalui pelbagai program dan aktiviti itu, telah meresapkan semangat perjuangan UMNO ke dalam penghidupan rakyat dan memberikan kesan yang begitu bermakna, di mana sokongan rakyat terhadap UMNO/BN menunjukkan pengingkatan.

Ini telah dibuktikan pada pilihanraya umum yang lepas sokongan rakyat khusus orang Melayu telah meningkat begitu mendadak berbanding pilihanraya sebelumnya. Bahawa pengorbanan yang dilaksanakan bersama putaran darah dengan denyutan nadi dan degupan jantung telah menyebabkan UMNO hidup segar, gagah untuk terus berjuang memartabatkan bangsa di bumi bertuah ini. Saudara saudarilah pejuang parti, pencetus minda bagi memastikan UMNO sentiasa di hormati kawan dan di geruni lawan.

IMBASAN DIRI
Para perwakilan yang dihormati sekelian, UMNO baru sahaja menyambut usia kelima puluh sembilan tahun penubuhannya. Seramai 20,404 orang Melayu dan Bumiputra telah bernaung sebagai ahli UMNO di bahagian kita. Jumlah ini adalah satu angka yang tidak boleh kita banggakan berbanding jumlah sebenar orang Melayu di bahagian ini. Usaha harus dipertingkatkan untuk menambah bilangan ahli parti di semua peringkat dan sayap.

Gunakan stategi serta pendekatan yang betul bagi menarik mereka bersama kita. Yakinkanlah mereka bahawa hanya UMNO lah satu-satunya parti politik yang mampu membela nasib mereka. insyaAllah dengan usaha yang berterusan rakyat khususnya orang Melayu akan terus bernaung di bawah UMNO seterusnya UMNO akan kekal menjadi tunggak kerajaan bagi tahun-tahun yang mendatang.

Saya amat menyanjung tinggi dan mengucapkan tahniah serta syabas kepada Pergerakan Pemuda yang telah mencetuskan idea bagi menubuhkan Putera UMNO. Usaha ini patut dicontohi bagi terus mengekalkan UMNO diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Bimbinglah anak-anak dan adik-adik kita supaya mereka dapat menghayati jasa dan perjuangan parti keramat ini. Insyallah dengan usaha yang berterusan, UMNO akan terus berdiri megah dan kekal bertahta dihati seluruh orang Melayu.

Bagi meneruskan perjuangan, matlamat utama adalah menggariskan agenda dan gerak kerja. Kejayaan dan kelangsungan UMNO dalam memartabatkan parti adalah bergantung kepada tahap keyakinan ahli terhadap barisan pucuk pemimpin. Bagi mengekalkan tahap keyakinan ahli, semua pihak hendaklah akur di mana kepentingan majoriti mestilah lebih di utamakan daripada kepentingan diri atau kelompok masing-masing.

UMNO bukanlah tempat untuk mencari kepentingan peribadi. Masanya telah tiba untuk kita memikirkan kepentingan ahli dan parti. Buangkanlah tanggapan bahawa jawatan yang disandang boleh dijadikan landasan untuk memperkayakan diri. Sejarah telah membuktikan antara faktor UMNO hampir ditolak oleh rakyat adalah disebabkan oleh sikap segelintir pemimpin seperti ini. Hindarkanlah diri dari melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej parti. Janganlah sampai keyakinan rakyat berubah. Parti akan menjadi lemah, sokongan rakyat akan merosot, bangsa hilang wawasan dan masa depan bangsa akan berkubur.

PERPADUAN UMNO
Para perwakilan yang dikasihi sekelian, jumlah yang ramai tidak akan bermakna sekiranya ahli berpecah dan bernaung di bawah kelompok tertentu. UMNO tidak mampu lagi berkeadaan seperti ini. Hentikanlah sikap bercakaran sesama sendiri khususnya bagi kepentingan peribadi. Janganlah kita membazir masa dan tenaga untuk menghadapi lawan sesama kita. Gunakanlah masa dan tenaga kita untuk menghadapi lawan sebenar. Saya yakin dan percaya jika kita bergabung tenaga, parti lawan akan terus lemah. UMNO akan terus kekal sebagai tonggak kerajaan dan orang Melayu. Semoga Laungan “Hidup UMNO! Hidup Melayu!’ akan terus kekal menjadi laungan keramat umpama ‘aur dengan tebing’.

Para perwakilan dan pemerhati yang dihormati, dalam mencari perpaduan permaufakatan perlu diterapkan di dalam setiap sanubari pendokong parti agar pemikiran yang ilmiah dapat digunapakai bagi menentukan agenda politik Melayu yang lebih luas. Agenda Melayu yang lebih menyeluruh dan agenda untuk mempastikan orang Melayu tidak menjadi dagang ditempat sendiri. Agenda politik Melayu hendaklah tidak disempitkan oleh matlamat politik jangka pendek. Sedar dan insaflah bahawa majoriti kita dalam UMNO adalah sedarah sedaging. Sebangsa dan seagama umpama air dicincang tidak akan putus.

Pintu mengadakan permaufakatan dengan semangat persaudaraan sentiasa terbuka, jendela bermuhasabah dalam suasana harmoni tidak tertutup walau sekecil manapun. Permaufakatan yang dicapai merupakan hadiah yang amat bernilai kepada UMNO yang sentiasa dahagakan perpaduan.

Sokongan semua pihak dalam parti adalah penentu kejayaan kita dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap bangsa Melayu. Ingatlah kepimpinan sentiasa datang dan pergi. Tiada yang kekal selamanya. Yang terus kekal adalah parti yang bertongkatkan ideologi dan idealisme yang sentiasa diperjuangkan mengikut keadaan kerelevenan penggunaannya supaya keseimbangan politik akan terus kekal dengan tahap pencapaian yang amat membanggakan.

Kita sering diingatkan oleh pemimpin tentang ayat yang dilafazkan ‘Melayu hanya tinggal kuasa’. Apakah erti kata sebenarnya ?. apakah hasil motivasi dari terjemahannya? Adakah ia sebagai barisan ayat yang melunturkan perjuangan kita atau barisan ayat untuk membakar semangat supaya kita terus berjuang demi memperkasak dan merealisasikan matlamat parti. Sama-samalah kita terjemahkan dalam satu bentuk huraian yang bermakna, agar kesinambungan perjuangan terus berkekalan di samping meraih dan mempertingkatkan kejayaan. Oleh yang demikian kuasa dan peranan merupakan tonggak destinasi kecemerlangan kegemilangan dan keterbilangan.

PERPADUAN NASIONAL
Dalam memperteguhkan perpaduan nasional, perpaduan Melayu perlu di pertingkatkan agar orang Melayu akan menjadi bangsa yang bersatu padu, senada dalam bersuara, sederap dalam melangkah terutama dalam isu-isu berkaitan dengan agama Islam, Raja-raja Melayu, bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu terbela dalam menghadapi lompilasi rakyat yang pelbagai agama kaum dan kebudayaan.

Menanam sikap saling menghormati di antara satu sama lain merupakan ramuan seimbang supaya negara-bangsa itu menjadi teguh dan kukuh. Realiti ini disedari dalam menentukan formula sewaktu menuntut kemerdekaan negara, sewaktu penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang disusuli dengan pembentukan sebuah negara-bangsa bernama Malaysia.

Kontrak sosial di antara pemimpin pelbagai kaum dicapai melalui muafakat yang berasaskan kefahaman tentang keadaan sosial, ekonomi dan politik semasa mendapatkan kemerdekaan, kaum bukan bumiputra dipersetujui dianugerahkan status kerakyatan, sementara orang Melayu dan bumiputra di persetuji di peruntukan dengan kedudukan istimewa dalam perkara-perkara tertentu sehinggalah kehari ini ia masih di martabatkan.

Adalah sangat mendukacitakan masih terdapat segelintir orang Melayu sendiri yang telah mengecapi nikmat dari status tersebut, cuba menidakkan kedudukan istimewa orang Melayu dengan membangkitkan isu-isu tertentu sebagai contoh: mengadakan propaganda kononnya dengan wujud hak istimewa orang Melayu dan bumiputra maka kita sentiasa mengharapkan subidi kerajaan dan menjadi malas untuk berusaha.

Tetapi mereka ini telah telupa atau tidak mengambil peduli tentang perjuangan bangsa demi memenuhi agenda politik sempit mereka. Hak istimewa orang Melayu dan bumiputra ini diperjuangkan kerana kaum bumiputra jauh berada di belakang sewaktu negara mengecapi kemerdekaan semasa zaman kerajaan penjajah di mana orang Melayu dan bumiputra ditindas melalui amalan dasar diskriminasi kepada rakyat peribumi.

Sebaliknya bukan bumiputra kerana mereka rasa bertanggungjawab membawa masuk ke negara ini disamping merencana serta memenuhi agenda ekonomi penjajah. Untuk mencapai perlaksanaan dan matlamat bagi mempastikan orang Melayu setanding dengan bangsa lain, perjuangan ini memerlukan masa dan perancangan yang tersusun rapi.

Oleh yang demikian kita sebagai sebuah parti politik yang menguasai kerajaan harus meneruskan perjuangan yang murni ini.

Kita memahami realiti bahawa kehadiran bukan bumiputra adalah berpunca dari perencanaan penjajah. Menjelang kemerdekaan, kita tidak menunjukkan sifat ‘racist’ terhadap bukan bumiputra malah menerima mereka dan memberikan status sebagai warga negara di negara merdeka ini. Dalam pada itu, kita meminta supaya keistimewaan tertentu dijamin untuk memboleh di suatu masa nanti kita akan dapat berdiri sama tinggi dan berlari sama pantas dengan kaum-kaum lain. Dengan mencapai kata sepakat kita memudahkan kerajaan penjajah membuat keputusan memberikan kemerdekaan. Kemerdekaan negara diperolehi secara aman tanpa menimbulkan sebarang keresahan dan kebimbangan kepada semua yang tinggal di negara ini.

HASIL PERPADUAN
Kepada kita semua, UMNO berjanji akan tetap mempertahankan kepentingan bangsa. Kepada yang bukan Melayu, UMNO berjanji dasar mempertahankan kedudukan Melayu tidak berniat menindas mereka. Meningkatkan martabat bangsa Melayu adalah agenda utama dan ulung kita. Menjamin keadilan dan kesaksamaan kepada bukan Melayu adalah pendekatan. Dengan kejayaan kita membina Melayu yang kuat, kita akan dapat menghapuskan kebimbangan dikalangan bangsa sendiri. Apabila orang Melayu sudah berasa lebih terjamin kedudukannya, jalinan kerjasama terhadap kaum-kaum lain akan dapat ditingkatkan melalui integrasi kaum.

Kita memperlihatkan sikap lebih terbuka, atas semangat untuk membina satu rumpun bangsa yang lebih perpadu dan bersatu. Ini boleh dibuktikan melalui pentadbiran dan juga pendidikan, dengan kewujudan sekolah kebangsaan dan sekolah bistari diperingkat pendidikan melambangkan permaufakatan antara kaum menjadi agenda perjuangan. Malah kerajaan jua meletakkan hasrat untuk menambah pekerja bukan Melayu berkhidmat di sekolar awam yang sebelum ini di monopoli oleh kita.

ERA PERJUANGAN UMNO BAHAGIAN ABAD 21
Era baru membawa cabran baru yang memerlukan pendekatan baru. Keraguan terhadap keikhlasan perjuangan kita kepada agama, bangsa dan negara akan menjejaskan penerimaan rakyat terhadap kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan UMNO Bahagian memelihara tujuan utama demi untuk menyatupadukan bangsa. Hanya lah melalui perpaduan bangsa kita akan terus dapat membina perpaduan kaum, budaya dan agama yang bersatu dan harmoni, maju dan makmur.

Hanya dalam persekitaran alam politik yang stabil kita dapat mengagihkan sumber-sumber bagi memenuhi keperluan harian penduduk di samping membangunkan prasarana negara bertaraf dunia.

Dasar ekonomi baru yang diterajui oleh UMNO dengan matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat telah membuahkan kejayaan. Kita telah berjaya melalui dasar tersebut dan haruslah mengambil tanggungjawab melonjakkan kejayaan bangsa. Mereka yang telah berjaya wajib merancang dan membuat sesuatu untuk bangsa, mereka yang telah berjaya sebenarnya berhutang kepada bangsa yang wajib dibayar melalui usaha-usaha yang berjaya untuk pengagihan peluang dan kekayaan kepada bangsa.

Kita yang telah mendapat nikmat dari perlaksanaan dasar tersebut sewajarnya menjadi pemangkin untuk memesatkan lagi pembangunan bangsa. Kita tidak boleh memikirkan kejayaan diri sahaja tanpa memberikan sumbangan untuk sama-sama memajukan bangsa. Kita yang dahulu menerima nikmat haruslah kini bersedia untuk memberinya. Sedarlah, kita hari ini lebih bertuah jika dibandingkan dengan kedudukan orang-orang tua kita semasa mereka giat memperjuangkan nasib bangsa melalui UMNO.

Kita bertuah kerana mempunyai pelbagai kemudahan untuk memudahkan kita memberikan sumbangan yang lebih besar dan bererti bagi memenuhi perjuangan pari. Ingatlah betapa susahnya orang-orang tua kita semasa mereka bertungkus lumus menjayakan perjuangan bangsa. Mereka menghadapi segala kekurangan umpamanya dari segi kenderaan, alat-alat komunikasi mahupun wang ringgit juga tempat mesyuarat.

Oleh itu kemudahan yang ada sekarang dapat pula memberi sumbangan yang lebih besar dan lebih bermutu kearah melonjakkan perjuangan kita bagi mencapai tahap yang lebih tinggi- mencapai matlamat wawasan 2020.

Sidang perwakilan sekelian, kita kini berada di dalam proses transisi budaya dari masyarakat desa tani kepada masyarakat teknokrat. Peralihan itu adalah hasil kejayaan usaha-usaha pembangunan yang di bawa oleh UMNO. Bilangan penduduk desa kita semakin kecil. Masyarakat desa juga sedang melalui peralihan budaya sosial dan ekonomi yang akan mempengaruhi budaya politik kita.

Program-program UMNO secara bijaksana dan berkesan perlu difikirkan akan terus terangkai perkongsian bistari di antara ahli dan parti yang selama ini menjadi asas kekuatan UMNO. Kita hendaklah menjadi sebuah organisasi yang dapat menawarkan khidmat bagi membantu semua lapisan masyarakat. Kita wajib melaksanakan program-program atas nama parti, supaya dapat dikenali sebagai program yang dilaksanakan oleh UMNO selain daripada program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Kita bukan sebuah parti eletis untuk kumpulan atasan semata-mata. Kekuatan kita datang daripada ahli biasa bawahan yang terdiri daripada petani, nelayan, peniaga kecil, kakitangan rendah kerajaan.

Kembalilah kepada mereka. Dan dampingilah mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita. Berkongsilah kemewahan yagn ada bersama mereka. Tanamlah rasa kasih, sayang, menghargai dan menghormati mereka. Mereka adalah akar kekuatan kepada bangsa kita. Merekalah selama hari ini penyokong setia kita yang mungkin kini mula terasa jauh hati.

Kita harus yakinkan mereka bahawa masa hadapan UMNO dan bangsa Melayu tidak harus dipergadaikan kerana tujuan sempit. UMNO tidak ditubuhkan sebagai laluan kecil dan singkat untuk membawa beberapa individu mendapat jawatan dan kekayaan. UMNO adalah sebuah lebuhraya lebar dan panjang untuk laluan lebih besar membawa bangsa melintasi zaman dan meneroka masa, menuju mercu kegemilangan.

UMNO adalah organisasi bangsa-satu perkampungan orang Melayu dari pelbagai latar belakang sosial, pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan usia. UMNO adalah institusi yang membolehkan pemikir mencetuskan ilham dan pelaksana merealisasikannya. UMNO adalah tempat bagi yang berada sedia menghulur dan bagi yang tiada dapat dibantu. UMNO adalah saluran untuk teguran diberikan perhatian dan nasihat dijadikan panduan. UMNO adalah persaudaraan yang merangkaikan talian ukhwah sejati sesama bangsa. Inilah rupabentuk dan wadah yang patut kita pupuk dan jadikan budaya dalam UMNO.

Kita tetap bersama Barisan Nasional. Kita tetap mengiktiraf dan mengamalkan muafakat Barisan Nasional dan perkongsian kuasa dalam kerjaan demi masa depan. Generasi muda, kita perlu pertahankan dan memperteguhkan Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan bangsa.

Generasi muda berperanan besar untuk menentukan kelansungan penerimaan UMNO dari segi organisasi dan perjuangan. Pimpinan muda yang dilahirkan selepas merdeka dan dewasa selepas dasar ekonomi baru dilaksanakan perlu memahami, menyelami, mendalami dan menghayati denyut jantung dan denyut bangsanya.

Kenalilah mereka,kunjungilah mereka, dampingilah mereka dan menangilah hati mereka bukan dengan mempamerkan kemegahan kebendaan tetapi dengan tutur dan bahasa, sopan dan santun anak melayu yang kenal akan akal dan budi, penuh beradat dan kaya beradab. Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan dengan UMNO. Kembalilah kepada bangsamu dan berpeganglah kepada amalan agamamu.

DASAR PEMBANGUNAN
Para perwakilan yang dihormati sekelian perjuangan kita masih belum selesai. Sedarkah, kita sekarang berada di kawasan yang strategik yang terletak bersempadanan dengan wilayah Lembah Klang malah berada di dalam kawasan koridor pembangunan aktif Negeri Selangor yang mengundang sebagai Lembah Klang Kedua dalam aspek pembangunan.

Ini merangkumi Koridor Multimedia yang lebih di kenali sebagai Multimedia Super Coridor (MSC), Koridor Persisiran Pantai Selatan, Koridor Pulau Carey-Kajang dan Koridor Morib- Salak Tinggi. Menysuli daripada perancangan pembangunan yang begitu mengkagumkan untuk negara dan juga bangsa, maka wujudlah KLIA, Cyberjaya, Putrajaya dan juga Litar Lumba Sepang (SIC) yang menjadi teras pembangunan kawasan kita.

Dengan kewujudan MSC, Kuala Lumpur International Airport (KLIA), Cyberjaya dan Putrajaya ini, migrasi masuk penduduk secara besar-besaran sedang berlaku. Peningkatan penduduk dalam tempoh 19 tahun bermula 1991 hingga 2010 dalam kadar peningkatan sebanyak 12.1% setahun. Peningkatan ini akan menyebabkan peningkatan permintaan perumahan, pendidikan, kemudahan rekreasi, industri, infrastruktur, utiliti dan kemudahan sosial yang berkualiti tinggi.

Di dalam menghadapi momentum perubahan pembangunan ini,kita yakin dan percaya struktur ekonomi yang tertumpu secara keseluruhannya bagi penduduk tempatan ialah sektor premer pada tahun 1990 (pertanian dan perlombongan) akan menjurus kepada sektor sekunder (sector pembuatan dan pembinaan) dan tertiary (sector perkhidmatan) menjelang tahun 2010, dengan peredaran struktur ekonomi ini,maka permintaan pekerjaan terhadap pekerja mahir akan turut meningkat.

Oleh itu, usaha perlu dijalankan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja orang Melayu supaya kita sama-sama dapat seiring dalam arus pembangunan ini.

Dalam merencana arus pembangunan fizikal ini, kita sebagai sebuah parti politik yang menguasai kerajaan akan memastikan pembangunan yang diperlihatkan sejajar dan seimbang dalam aspek pemeliharaan terhadap kesan pembangunan. Pemeliharaan yang harus di titik beratkan dalam erti kata pembangunan merangkumi 3 aspek utama:

· Kawasan pemeliharaan
· Kawasan pembangunan
· Insfrastruktur dan utility

Kawasan pemeliharaan
Penekanan terhadap aspek pemeliharaan dan kawasan sensitif alam sekitar haruslah diwartakan sebagai kawasan

i - Koridor “Airport city”
Koridor “airport city” yang akan dibangunkan berfungsi sebagai pusat pertumbuhan strategik serta berperanan sebagai ‘nukleus’ perkembangan pembangunan dan juga merupakan pusat pentabiran daerah sepang yang menempatkan semua fungsi pentadbiran daerah. “Airport-city” ini juga akan menjadi pusat dagangan diperingkat negara dan antarabangsa kerana ia menempatkan terminal pengangkutan awam yang bersepadu serta mempunyai kemudahan sosial tertaraf tinggi.

Manakala kawasan sekelilingnya akan menjadi pusat petempatan yang akan menyokong pembangunan. Antara kawasan-kawasan yang akan terlibat secara langsung atau tidak langsung adalah terdiri daripada kampong-kampung tradisi yang majoritinya adalah orang melayu seperti Kg Ginching, Kg Salak, Kg Baru Lanjut, Kg Jenderam dan Lembah Paya.

Ini adalah kerana kampong-kampung ini berada di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenali sebagai “Airport City:.

ii - Koridor lapangan terbang antarabangsa (KLIA);
Dengan kewujudan KLIA sebagai “Regional Transportation Hub” dan pengangkutan utama negara yang mempunyai kawasan seluar 10,000 hektar yang menerapkan kepada konsep ‘Forest in the airport’ yang mempunyai empat landasan dan empat kompleks terminal penumpang dan dilengkapi dengan pusat perdagangan perhotelan , zon perdagangan bebas, kawasan rekreasi bertaraf dunia dan lain-lain kemudahan.

Disamping itu juga untuk melengkapkan lagi imej KLIA sebagai ‘Regional Transportation Hub’ serta melambangkan sebagai pintu masuk utama ke negara ini dengan penyediaan SIC, zon perdagangan bebas dan kawasan perindustrian berkaitan aktiviti penerbangan diwujudkan.

Ini bagi memastikan pembangunan persekitaran KLIA ini seimbang dengan pembangunan sekitar dan keperluan kita.

iii - Koridor Teluk Merbau – Bagan Lalang – Sg Pelek pula dibangunkan sebagai zon penyelidikan dan pembangunan (R&D), institusi, industri, dan pelancongan dalam menggalakkan pertumbuhan sekonomi. Sg Pelek dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan strategik yang berperanan sebagai penggerak pembangunan untuk menempatkan kemudahan sosial dan perkhidmatan utama di peringkat tinggi.

Sg Pelek juga berperanan untuk menampung aliran keluar pembangunan pekan sepang kerana kedudukannya yang berada di bawah laluan kapal terbang atau di kenali sebagai zon kebisingan dan berisiko kritikal. Manakala Bagan Lalang pula akan menjadi pusat petempatan utama di mana aktiviti pelancongan dan institusi akan menjadi fokus pembangunan.

Telok Merbau pula difokus sebagai kawasan penempatan penduduk demi untuk menampung keperluan perumahan atas ***

iii/ms20
Kita akan memastikan kawasan-kawasan pertanian baru serta sedia ada yang diusahakan oleh orang Melayu berkeupayaan untuk dimajukan dan berkemampuan untuk di perkembang dan dipertingkatkan dalam mengeluarkan hasil tanaman dan ternakan.

Galakan serta bantuan dalam mengeluarkan produk makanan asas tani dengan menggunakan teknologi pertanian terkini wajar diberi tumpuan, supaya kita dapat membantu petani Melayu untuk melipat gandakan hasil pengeluaran. Ini bagi menampung permintaan tempatan dan keperluan untuk di eksport, secara tidak langsung peningkatan pendapatan para petani melayu dapat dipertingkatkan.

Pertanian yang berasaskan agro-teknologi dan agro-torism pula haruslah diperkembangkan daripada kalangan petani Melayu kerana pertanian yang berasaskan agro-teknologi dan agro-torism ini mempunyai masa hadapan yang begitu cerah dalam menjana peningkatan ekonomi individu, malahan merupakan dasar penting kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negara.

iv - Dalam aspek pembangunan perumahan pula kita menggalakan jenis kos yang berkualiti dan mampu di miliki orang Melayu yang dilengkapi dengan kemudahan masyarakat yang berteraskan kepada konsep unit kejiranan ‘self-contained’ yang mempunyai kemudahan-kemudahan perniagaan, pendidikan, kesihatan, keagamaan dan rekreasi.

Disamping itu juga kita harus mempastikan penyediaan rumah-rumah kos rendah sebagaimana yang disyaratkan oleh kerajaan akan dilaksanakan oleh pihak pemaju dan penyediaan kuota pembelia rumah untuk bumiputra harus disediakan.

v - Kita tidak boleh terlepas pandang dalam kesibukan pembangunan yang baru tanpa memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti persekitaran kawasan-kawasan perumahan sedia ada seperti kampong baru, kampong tradisi dan petempatan orang asli. Ini terutama kampong-kampung orang Melayu yang berdekatan dengan kawasan Bandar yang mengalami kesesakan fizikal, kawasan-kawasan ini hendaklah diletakkan di dalam program pembaikan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi (Kampung Desa Wawasan) bagi mempastikan kemudahan asas dan infrastruktur seperti jalan, perparitan, pembentungan dan kebersihan sentiasa di perbaiki dan dipertingkatkan agar setanding dengan kawasan-kawasan pembangunan baru. Ini bertujuan untuk menjaga keharmonian dan keselesaan penduduk setanding dengan kawasan pembangunan sekitarnya;

vi - Kita hendaklah merancang bagi menyediakan kemudahan masyarakat pelbagai taraf untuk keperluan orang Melayu yang merangkumi kemudahan-kemudahan pendidikan dan latihan,*** persekitarannya akan dikawal sebagai kawasan sensitif alam sekitar dan diberikan perhatian khusus.

C - Koridor Teluk Merbau- Bagan Lalang- Sg Pelek
Kawasan ini akan dibangunkan sebagai zon penyelidikan dan pembangunan (R&D), institusi, industri dan pelancongan manakala persisiran sungai dan pantai akan dipelihara dan dibangunkan sebagai sebahagian daripada pembangunan berintensiti rendah

D - Kita juga akan memastikan pelabuhan dan persisiran pantai hendaklah dirancang secara terperinci dan bersepadu agar pembangunan tidak memberikan kesan yang tinggi kepada eko-sistem atau sumber semulajadi akuatik. Kawasan-kawasan ini hendaklah diwartakan sebagai kawasan yang berintensif rendah

E - Industri berkaitan teknologi maklumat, industri ‘aeronautical’ dan industri bertenologi tinggi yang tidak mencemarkan alam sekitar serta mematuhi garis panduan perancangan fizikal dan garis panduan ‘siting and zoning of industry’ akan diberikan keutamaan di samping mewujudkan industri kecil dan sederhana. Yang akan diperkukuhkan dan diperluaskan dengan cara menetapkan kawasan pembangunan industri yang dilengkapi dengan kemudahan latihan, penyelidikan, infrastruktur dan utiliti yang mencukupi dan bermutu tinggi bagi memastikan operasi yang berkesan;

F - Penyelidikan institusi, pusat latihan dan pusat penyelidikan harus diberikan keutamaan bagi melatih tenaga kerja tempatan dan tenaga kerja luar yang datang ke tempat kita mempunyai kemahiran yang bersesuaian dengan perubahan penawaran terhadap pekerjaan dan perniagaan.

G - Koridor-koridor pembangunan utama yang akan meletakkan pusat pertumbuhan strategik, pusat penempatan utama di berikan garis panduan untuk melaksanakan segala agenda pembangunan supaya sosial-ekonomi penduduk tempatan berada di dalam keadaan yang seimbang dengan pembangunan fizikalnya.

3 - Infrastruktur dan Utiliti
Kita akan memastikan kemudahan infrastruktur dan utiliti yang disediakan akan tersusun, menyeluruh, efisien dan fleksibel terutama di penempatan orang melayu meliputi sistem perparitan, sistem bekalan eletrik, sistem bekalan air, sistem telekomunikasi, sistem jalanraya, sistem lebuhraya, sistem pengangkutan darat, sungai dan laut, sistem pembentungan, sistem perkhidmatan pungutan dan pelupusan sisa pepejal dan sistem pengurusan dan pelupusan buangan terjadual.

Semua ini akan dapat dikendalikan dengan lebih berkesan dan selamat bagi memastikan keharmonian dan kestabilan dalam arus pembangunan dapat di kekalkan.

DIMENSI PEMBANGUNAN
Sebagaimana rancangan yang telah dirangka dalam arus pembangunan fizikal kawasan kita. Ketetapan untuk melaksanakan dalam tempoh lima tahun yang merangkumi semua aspek pembangunan akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan supaya tahap sosio-ekonomi orang-orang Melayu akan terpelihara dan terjamin di dalam arus pembangunan.

Antara perkara-perkara yang akan diberikan perhatian khusus adalah seperti berikut:

1 - PEMBANGUNAN MASYARAKAT
Dalam kontek pembangunan masyarakat, kerajaan akan mempastikan penduduk-penduduk luar bandar yang sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu akan terus terpelihara. Bagi tujuan ini kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan yang di antaranya merangkumi program bantuan rumah (PBR), menambah nilai ‘add value’ sektor pertanian dan program Amanah Saham Bumiputera (ASB)

Selain dari itu bagi memastikan orang melayu mampu bersaing dengan kaum yang lain kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai bantuan bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka. Antara bantuan pendidikan yang telah dan sedang disalurkan adalah program tambahan makanan (PTMS) di sekolah-sekolah, pembangunan insan dan menubuhkan institusi latihan kemahiran.

Bagi memastikan kehidupan orang melayu terus sejahtera kerajaan telah menaiktaraf infrastruktur kawasan luar bandar yang merangkumi bekalan eletrik dan air, jalan kampong dan juga pusat pertumbuhan desa. Bagi melaksanakan kesemua program tersebut, kerajaan mencadangkan sejumlah RM 31.5 juta untuk rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9).

Usaha ini adalah bertujuan untuk mempastikan tarif sosio-ekonomi dan pendidikan orang Melayu akan terus terpelihara.

2 - PENGALIRAN DAN SALIRAN
Dalam menyusuri aras pembangunan kita tidak terlepas daripada menghadapi masalah bencana alam terutamanya di musim tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, kerajaan merancang untuk membina projek tebatan banjir yang merangkumi Sungai Langat, Sungai Labu dan kawasan-kawasan tertentu.

Memandangkan kawasan kita ini telah dikenal pasti sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri ini, kerajaan melalui Jabatan Parit Dan Saliran telah mewujudkan zon pengurusan pantai yang merangkumi pembaikan struktur hakisan pantai, menaiktaraf ban dan pemulihan pantai perlancongan. Bagi melaksanakan program-program ini kerajaan telah mencadangkan RM 583 juta bagi DUN Dengkil, RM 418.6 juta bagi DUN Sungai Pelek dan RM 72 juta bagi DUN Tanjung Sepat. Kesemua projek ini dicadangkan untuk RMK9 nanti.

4 - JALANRAYA DAN LEBUH RAYA
Kemudahan infrastruktur di kawasan kita merupakan antara yang terbaik di dalam negeri ini. Bagi terus memastikan kemudahan ini sentiasa dinaiktaraf kerjaan menerusi Jabatan Kerja Raya akan mencadangkan wang sebanyak RM 192.9 juta untuk RMK9. Cadangan ini merangkumi pembinaan jalan-jalan baru dan juga kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan. Disamping itu juga sebanyak enam (6) jalan utama akan di bina melalui perancangan Kementerian Kerja Raya dengan anggaran kos sebanyak RM 375.5 juta bagi membina jalan baru atau menaiktaraf jalan seperti berikut;

i - Membina dan menyiapkan jalan baru dari Hulu Chuchuh ke Bandar Baru Salak Tinggi

ii - Menaiktaraf jalan B48 dari simpang tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama

iii - Menaiktaraf jalan dari simpang tiga Jenderam ke Bangi (Laluan B17)

iv - Menaiktaraf jalan dari Sungai Kelambu – Genting Sanyen, Kuala Langat

v - Menaiktaraf jalan Banting – Dengkil, dan

vii - Menaiktaraf jalan B20 (Bukit Changgang)

5 - SEKOLAH-SEKOLAH
Pendidikan merupakan satu proses pengisian ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang dengan tujuan untuk memupuk keperibadian dan watak yang sempurna. Untuk memastikan matlamat daripada pendidikan tercapai maka kerajaan haruslah memastikan kemudahan pendidikan berada di dalam keadaan yang sempurna.

Untuk itu kerjaan telah merancang untuk menambah jumlah sekolah-sekolah di kawasan kita bagi menampung jumlah pelajar-pelajar yang dijangka semakin meningkat. Bagi maksud itu sebanyak empat (4) sekolah kebangsaan dan empat (4) sekolah menengah kebangsaan akan dibina dalam RMK9. Disamping bangunan-bangunan sekolah yang sedia ada akan terus dibaikpulih dengan dilengkapi pusat sumber (perpustakaan), makmal sains, makmal komputer, bengkel kemahiran hidup.

Bagi sekolah-sekolah yang berpotensi kemudahan asrama akan disediakan. Selain dari itu kerajaan juga merancang untuk membina bangunan sendiri bagi menempatkan Pejabat Pendidikan Daerah Sepang yang kini ditempatkan sementara di Sekolah Rendah Taman Seroja. Untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan ini kerajaan merancang untuk memperuntukkan sebanyak RM 118.9 juta bagi RMK9.

6 - BANDAR DAN DESA
Bagi menaiktaraf infrastruktur pembangunan Daerah Sepang kerajaan menerusi Majlis Daerah telah merancang untuk membangunkan kawasan-kawasan pentadbirannya. Antara projek-projek yang hendak dilaksanakan adalah menaiktaraf dan pengindahan langskap di jalan dan taman awam, pengindahan dan penyediaan tempat riadah, penyelenggaraan kawasan perumahan, industri dan perniagaan, pembinaan pusat kawalan selia Bandaraya Cyberjaya, merekebentuk dan membina pusat perniagaan serta rekreasi. Bagi tujuan ini sebanyak RM 118.8 juta dicadangkan untuk diperuntukan pada RMK9 nanti.

7 - KEAGAMAAN
Dalam RMK9 kerja-kerja menaiktaraf, pengubahsuaian masjid dan surau akan dicadangkan dengan anggaran kos perbelanjaan yang dirancang berjumlah RM 12.6 juta meliputi dua (2) masjid baru yang hendak dibina bagi menampung keperluan semasa. Cadangan projek tapak perkuburan pula diperuntukan sebanyak lima (5) kawasan perkuburan yang baru dikenalpasti untuk diwujudkan atau di luaskan bagi menampung keperluan sekarang dan akan datang, ini melibatkan kawasan seluar 20 ekar dalam kontek penydiaannya.

Di dalam perancangan kerajaan juga di bawah pentadbiran agama Islam terdapat empat (4) sekolah rendah agama (SRA) baru akan diwujudkan, dan empat (4) sekolah rendah agama (SRA) sedia ada akan di bina dan empat (4) sekolah agama (SRA) sedia ada akan dibesarkan bagi menampung pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah agama yang tidak dapat menampung permintaan terhadap kemasukan pelajar baru.

Antara faktor yang menyebabkan permintaan terhadap pendidikan ini adalah kerana wujudnya kawasan-kawasan penempatan baru hasil daripada ledakan pembangunan.

PENYALAHGUNAAN DADAH
Dalam kontek penyalahgunaan dadah kita telah dikejutkan dengan peningkatan yang mendadak daripada bilangan penagih yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan agama. Penyalahgunaan ini berlaku dengan tidak mengenal usia, kedudukan, pangkat ataupun darjat yang telah menular masuk di segenap lapisan. Apa yang amat kita khuatiri adalah peningkatan ini berlaku daripada kalangan orang melayu sndiri. Statistik telah menunjukkan bahawa 96% mereka yang ditempatkan di pusat serenti atau dikenali sebagai pusat pemulihan dadah terdiri daripada bangsa kita.

Penyalahgunaan dadah ditakrifkan sebagai menggunakan bahan kimia psikoatif seperti heroin, morfin dan ganja. Penggunaannya adalah dengan cara dimakan, dihidu, disuntik, diminum atau dihisap tanpa mendapat kebenaran daripada pakar perubatan atau doktor perubatan. Penyalahgunaan dadah akan mengakibatkan kesan paling ketara ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagihan, gangguan tingkahlaku yang berterusan dan mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Beberapa tempat di dalam kawasan kita telah dikenalpasti sebagai kawasan kritikal atau hitam. Ini melibatkan rancangan-rancangan tanah belia, kampong-kampung tradisi dan juga kawasan-kawasan perumahan baru. Budaya ini berlaku dan meresap masuk melalui perubahan pembangunan yang berkemungkinan besar telah dibawa masuk oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ini terbukti dengan tertangkapnya beberapa pengedar dadah di Taman Seroja dan Bandar Baru Salak Tinggi. Antara faktor-faktor yang dikenalpasti melalui Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) yang mendorong pengedaran dadah adalah untuk mendapatkan keuntungan dengan segera tanpa memikirkan nilai-nilai murni. Faktor-faktor yang mendorong penyalahgunaan dadah daripada kalangan penagih pula adalah di sebabkan untuk meningkatkan keseronokan dan keseronokan seksual. Punca-punca yang dikenalpasti adalah daripada perasaan ingin tahu, ingin mencuba, pengaruh rakan-rakan ataupun cara tidak sengaja. Malahan dadah juga dijadikan oleh golongan belia sebagai simbol kebebasan, simbol kedewasaan, mengatasi desakan atau tekanan hidup.

Oleh yang demikian kita seharusnya bertanggungjawab atas apa yang berlaku, kita harus tanamkan semangat, tekad dan usaha untuk perangi dadah secara habis-habisan. Kerajaan juga telah meletakkan penyalahgunaan dadah sebagai musuh nombor satu Negara. Kerana dengan penyalahgunaan dadah ini banyak memberikan kesan yang negatif kepada individu dan masyarakat.

Ini dapat di pasti mealui peningkatan jenayah curi, rompak, samun, ragut dan juga kehilangan barang-barang yang berharga, jenayah ini berlaku adalah untuk menampung keperluan pembeliam dadah oleh penagih-penagih tegar kerana mereka memerlukan wang RM 60.00 sehari bagi menampung keperluan pembelian dadah mereka. Jika ini terus berlarutan maka bangsa kita akan berhadapan dengan zaman kehancuran malah akan memberikan impak yang cukup besar dalam melahirkan insan-insan mulia yang disegani, dihormati serta disayangi. Wawasan kerajaan untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan berkubur begitu saja.

Oleh yang demikian, UMNO Bahagian Sepang menerusi biro anti dadah akan berperanan menyusun dan merangka tugas dalam kerja-kerja mengenalpasti penagih dan pengedar serta mengenalpasti kawasan-kawasan penagihan dan pengedaran.

Satu jawatankuasa yang berperanan untuk mendapatkan maklumat haruslah dibentuk agar maklumat yang diperolehi dapat di salurkan kepada pihak yang berkenaan. Pada masa yang sama kita harus memberi kerjasama serta turut serta dalam operasi yang dijalankan sekiranya diperlukan bagi membantu pihak-pihak yang terbabit, disamping itu juga kerjasama daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO’s) amatlah diperlukan bagi menangani isu ini.

Dalam melaksanakan undang-undang kita tidak perlu bertolak ansur dan timbang rasa kepada penagih dan pengedar. Biarpun penagih dan pengedar dadah ini adalah anak kita, saudara mara ataupun sahabat handai kerena penyalahgunaan dadah adalah musuh nombor satu yang akan merosakan dan menghancukan masa depan insan, bangsa, agama dan negara malah keharmonian kehidupan juga terganggu atas perbuatan mereka.

BINA INSAN
Pendidikan memainkan peranan utama yang amat penting bagi melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bagi mencapai wawasan 2020, sumber manusia merupakan aset yang amat bernilai untuk negara dan harus dipelihara. Pembentukan ini haruslah bermula diperingkat rumah dan disusuli diperingkat sekolah.

Dengan pembentukan yang sempurna akan melahirkan tenaga mahir yang berkeupayaan membantu kerajaan dalam merealisasikan matlamatnya.

Dalam topik pendidkan Sepang, tahap pencapaian pelajar tidak boleh kita banggakan. Statistik yang kita perolehi dalam keputusan peperiksaan agak mengecewakan kerana 54% sahaja pelajar yang berjaya lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2004.

Peratusan ini kita perolehi daripada sekolah-sekolah menengah kebangsaan yang majoritinya adalah anak Melayu kita. Penekanan dalam aspek pelajaran untuk tahun-tahun akan datang haruslah diberikan perhatian yang lebih serius demi untuk mencapai matlamatnya. Dikawasan kita seramai 29,387 orang pelajar yang masih menuntut di peringkat rendah dan menengah. Adakah nilai anak ini yang sentiasa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar hendak dibiarkan tidak berharga? Kita haruslah memainkan peranan bersungguh-sungguh bagi memastikan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan.

Kalau kita lihat disekeliling kawasan kita banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta malahan terdapat pusat pengajian tinggi wujud di dalam kawasan kita sendiri. Dimana institusi-institusi pengajian yang berada berhampiran kita antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Uniten, Inti Kolej, Nilai Kolej, Universiti Multimedia dan sebagainya, adakah kita hanya ingin melihat orang-orang luar ataupun bangsa lain akan menikmati kemudahan ini.

Kita haruslah menanamkan semangat kepada anak-anak melayu kita, supaya tanamkan tekad yang tinggi dan semangat yang kental untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi yang serba canggih dan moden ini. Agar apabila mereka keluar nanti mereka akan menjadi insan yang berjaya dan di hormati.

Peranan kita pula dalam melahirkan tenaga manusia yang berwawasan diperingkat sekolah boleh dilaksanakan melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), dengan cara membincangkan isu-isu yang berkaitan tentang tahap pencapaian pelajar dan masalah displin pelajar.

Matlamat yang harus dijadikan panduan oleh ibu bapa dan guru terhadap pelajar adalah dengan menanam sikap beriman dan bertakwa, berbudi mulia dan berakhlak, berguna dan berhasil, berdaya usaha dan berkreatif, beramanah dan bertanggungjawab, berfikiran waras dan berprogresif, berpengaroh dan berpengalaman luas, berilmu dan berkemahiran, bersatu padu dan berkerjasama serta berdikari.

Pemupukan kualiti-kualiti prograsif ini adalah tanggongjawab kita sebagai ibu bapa dan guru untuk mengajarnya, kita tidak akan dapat memperolehi kualiti-kualiti ini jika hidup mereka terbiar, tidak terdidik dan terpimpin.

ISLAM HADHARI
Islam Hadhari adalah bermaksud memahami islam daripada pespektif ketamadunan yang dilihat sebagai sistem hidup yang menyeluruh yang mengintegrasikan sunatullah dan dinullah. Seterusnya menyusun kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi. Ini adalah asas kepada konsep Islam hadhari.

Daripada segi penghayatan, ia meliputi tentang tanggungjawab manusia sebagai khalifah. Tanggungjawab kita ialah untuk mengimarah dan memakmurkan bumi. Seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya” Di mana kita diturunkan sebagai khalifah yang harus mengurus bumi ini untuk menjadi tempat terbaik kepada kita. Mengurus tadbir semua nikmat yang ada di muka bumi sebagai tempat tinggal kita dengan cara yang terbaik.

Manakala instrument untuk kita menghayati dan melaksanakan Islam Hadhari ialah ilmu, iman dan amal soleh. Seterusnya kita berkewajipan menggunakan potensi akal, roh, naluri dan jasmani dan memanfaatkan nikmat yang disediakan di langit dan di bumi bagi memenuhi kewajipan yang terkandung dalam pandangan hidup.

Dalam hal ini ilmu pengetahuan adalah kekuatan yang melayakkan kita memikul amanah sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi. Di sini dengan menggunakan potensi kita dan penjanaan ilmu pengetahuan, kita membina institusi seperti keluarga, organisasi sosial dan negara bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

UMNO SEPANG MENJANA BANGSA
SABAN HARI MANUSIA DARI PELOSOK DUNIA MENGINJAKAN KAKI DI Sepang melalui KLIA, dunia mengenali kita menerusi Litar Lumba Sepang dan Lembah Biotek yang terletak di sini. Kita menjadi jiran paling hampir dengan pusat pentadbiran negara di Putrajaya dan Lembah Silikon di Cyberjaya. Kita memiliki pantai perkelahan yang amat menarik dengan rancangan pembangunan kawasan maritim yang berkala mega, lanskap perkampungan tradisional yang mampu menggamit kehadiran pelancung, pertumbuhan institusi-institusi pengajian tinggi swasta yang berupaya menjadikannya sebuah hub pendidikan yang prograsif dan dinamik serta pelbagai prasarana dan ‘setting’ yang sangat kondusif untuk menjadikan kawasan yang gemilang dan terbilang.

Kesemua ini adalah ‘catalyst’ (agen perubah) dan menayangkan akan berlakunya suatu transformasi sosial yang total dan menyeluruh, khususnya yang menyentuh tentang gaya hidup, perubahan watak akibat mobilisasi sosial dan asakan-asakan pengaruh luar, gelagat hubungan antara kaum yang akan menjadi lebih intim dan terbuka, pertumbuhan ekonomi yang dapat meransang dan meningkatkan taraf hidup, perjanaan insfrastruktur intelektual bagi menyegarkan orientasi keilmuan masyarakat, kewujudan kawasan penempatan baru serta migrasi penduduk dan sebagainya.

Sepang akan berubah wajah sambil membuka peluang untuk diraih oleh warga penduduknya. Sementara bagi warga UMNO Sepang pula, ia merupakan isyarat jelas untuk melipat gandakan usaha, menggilap semangat dan daya juang, memperkasa penampilan ahli dan parti, memperkemaskan perancangan dan strategi perjuangan supaya obor kecemerlangan bangsa Melayu sentiasa hidup dan marak menyala.

Para perwakilan yang dikasihi sekelian, kita sedang menelusuri alaf ketiga abad ke 21 yang telah, sedang dan akan memperlihatkan kepada kita gelombang besar perubahan dengan segala semangat dan manifestasinya.

Kita sedang menyaksikan aneka ragam realiti, realiti persempitan dunia dalam suatu perkampungan global, realiti persaingan ilmu dan teknologi tinggi dengan segala kepintaran kebajikan dan kebijakan manusia, realiti pertembungan tamadun-tamadun besar yang akan mengundang pelbagai kemungkinan serta realiti kebangkitan Dunia Melayu yang akan mengalihkan paksi teraju Dunia Islam ke rantau sebelah sini.

Semua ini mempunyai imperative politik kepada bangsa Melayu, terutama sekali bagi kita yang bernaung di bawah UMNO, Barisan kepimpinan UMNO di peringkat bahagian dan cawangan-cawangan harus bersiap sedia menggembeling tenaga, fikiran dan tumpuan dalam rangka membina kekuatan dan ketrampilan


Sekian Terima Kasih




Baca Seterusnya!


Pautan Sepang
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Kerajaan Tempatan
Badan Berkanun Negeri
Agensi Kerajaan Negeri
Pejabat Daerah & Tanah
Kolej dan Universiti di Selangor
Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Pentadbir
    BLOGGER